Wednesday, 26 March 2014

Permainan Tradisional


Permainan Tradisional Melayu

       Orang Melayu yang duduk di kampung dahulu tidak ada wang untuk membeli permainan yang baharu. Mereka sangat susah untuk mencari wang.Wang mereka yang ada hanya untuk membeli barang-barang dapur di pasar dan benda yang penting sahaja. Orang Melayu sangat pandai dan rajin mencipta permainan tradisional seperti ini.Orang Melayu dahulu bermain dengan permainan tradisional seperti permainan batu seremban, gasing, guli, kaki gajah, dan capteh.




Batu Seremban juga dikenali sebagai Batu Selambut atau Serembat. Permainan ini gemar dimain oleh kanak-kanak perempuan. Ia biasanya dimain secara berkumpulan– dua orang atau lebih. Objek-objek seperti guli kaca, biji getah, ketulan batu kerikil (gravel) atau ketulan-ketulan objek lain yang berbentuk bulat digunakan dalam permainan ini. Objek-objek ini dikenali sebagai buah. Batu seremban selalunya dimain pada waktu lapang – di serambi rumah, di dalam rumah atau di mana sahaja mereka mahu dengan memerlukan permukaan lantai yang rata. Pemain juga harus duduk di atas lantai supaya ia lebih senang dimainkan. Dalam permainan Batu Seremban, terdapat beberapa peringkat atau cara sambutan buah yang berlainan. Permainan ini akan bermula dengan peringkat pertama yang mudah, di mana sebiji buah yang dinamakan buah satu digunakan, sehingga ke peringkat yang lebih sukar atau peringkat yang teratas dinamakan buah tujuh.


Gasing merupakan sejenis permainan yang boleh berputar pada pakunya. Gasing adalah permainan tradisional orang-orang Melayu sejak dahulu lagi. Permainan gasing dipertandingkan antara kampung. Pemenang dikira berdasarkan tempoh masa gasing mampu berputar. Gasing dibuat daripada kayu bebaru, kemuning, merbau, rambai, durian atau kundang . Kayu tersebut akan ditakik-takik dan dikikis sehingga menjadi bentuk gasing. Tali gasing dibuat daripada kulit pokok bebaru. Tetatpi, sekarang, tali gasing dibuat daripada tali nilon. Panjang tali gasing biasanya bergantung kepada panjang tangan seseorang. Ia biasanya 1 meter panjang. Minyak kelapa digunakan untuk melicinkan pergerakan tali gasing.



Guli adalah sejenis bola kecil yang biasanya dibuat dari kaca, tanah liat atau akik. Ia biasanya dimainkan oleh kanak-kanak. Guli juga boleh digunakan dalam sesetengah permainan lain, contohnya congkak. Ramai juga yang mengumpul guli, sama ada untuk nostalgia atau warna estetiknya. Permainan guli biasanya melibatkan lontaran guli dengan tepat mengenai sasarannya. Ia biasanya dimainkan oleh kanak-kanak lelaki. Jumlah pemain tidak melebihi lima orang. Kawasan tanah rata dan lapang adalah gelanggang yang sesuai untuk tempat bermain guli.




Capteh merupakan sejenis permainan tradisional yang dimainkan oleh orang Melayu. Ia juga dikenali sebagai Sebuyam atau Sepak Bulu Ayam
Permainan ini boleh dimainkan secara berseorangan atau lebih. Sekiranya ia dimainkan secara sendirian, pemain akan cuba menyepaknya seberapa banyak yang mungkin dan seberapa lama yang mungkin. Ini biasanya dikenali sebagai menimbang. Menimbang juga boleh dimainkan lebih daripada satu orang, dan pemain bergilir menimbang bulu ayam, sementara pemain lain mengira berapa kali sepakan dibuat.
Sekiranya ia dimainkan lebih dari satu pemain, kumpulan dengan terdiri beberapa orang boleh dibentuk. Permainan ini adalah seperti permainan sepak raga, tetapi bola yang digunakan adalah dari bulu ayam yang telah dibentuk seperti sejambak bunga.

Kaki Gajah dimainkan dalam kumpulan. Setiap kumpulan mempunyai 3 orang pemain. Mereka akan menyilang kaki antara satu sama lain dan berlawan dengan kumpulan lain sehingga jatuh. Siapa yang jatuh akan dikira kalah dan yang masih bertahan sehingga habis adalah pemenang.
Oleh: Vanesha & Maisarah

Semua gambar dipetik daripada kamera JWPS.
Sumber informasi adalah dari Wikipedia dan telah diubahsuai sedikit.


No comments:

Post a Comment